Berdasarkan akhbar Utusan Online bertarikh 23 Ogos 2010, ketika ini kadar penembusan jalur lebar di seluruh negara hanya sekitar 33% sahaja. Kadar tersebut dianggap masih jauh daripada sasaran kerajaan iaitu sekurang-kurangnya 50% penembusan jalur lebar dalam kalangan rakyat menjelang akhir tahun ini. Oleh hal yang demikian, peranan syarikat pengendali telekomunikasi bersama pihak kerajaan amatlah penting untuk turun padang dalam aspek sumbangan korporat.
Justeru, wujudnya program yang dikenali sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK). Ia merupakan projek 5 tahun yang dibiayai oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat Malaysia (SKMM) melalui dana Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Bagi mencapai sasaran 50% penembusan jalur lebar, antara langkah yang diambil oleh pihak kerajaan adalah dengan menumpukan kawasan luar bandar yang rendah jurang digital. Oleh sebab itu, Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) telah ditubuhkan di Kampung Beladin di tapak Persatuan Nelayan Komuniti Beladin Saribas (PNKBS). Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Beladin telah mula beroperasi pada tahun 2010 yang diurus tadbir oleh Pengurus dan Penolong Pengurus. Pertapakan PJK Beladin di PNKBS adalah sehingga pertengahan tahun 2015. Di samping itu, penubuhan PJK Beladin telah menerima sambutan yang positif dalam kalangan penduduk Beladin. Hal ini demikian kerana, penubuhan PJK Beladin ini telah menjadi petanda aras dalam pembangunan kampung Beladin ke arah lebih moden dan dilengkapi dengan kemudahan teknologi. Menurut Encik Julai Othman, penduduk Kampung Hilir Beladin, menyatakan kesyukuran terhadap pembangunan yang dibawa oleh pihak kerajaan ke Kampung Beladin. Tambahnya lagi, penubuhan PJK ini telah memberikan dunia baharu kepada penduduk Beladin yang selama ini tidak membangun dalam aspek teknologi, malah penduduk kampung juga didedahkan dengan ICT serta anak-anak muda berupaya mendapat manfaat daripadanya dengan lebih holistik (Arkib PJK Beladin, 2011). Di samping itu, Pusat Jalur Lebar Komuniti Beladin juga telah memberikan pendidikan ICT kepada semua lapisan penduduk bagi mencapai hasrat kerajaan dalam mencapai wawasan 2020 di mana pihak kerajaan mahu rakyat Malaysia celik dalam bidang teknologi maklumat.
Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Beladin juga telah membuka mata pelbagai pihak untuk memperlihatkan penanda arus pemodenan Kampung Beladin dalam aspek ICT. Hal ini dibuktikan dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Beladin pernah dikunjungi oleh tetamu kehormat iaitu YB Razaili bin Hj Gapor (ADUN N.24 Beting Maro), YB Datuk Hjh Rohani bt Abdul Karim ( Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Penggunaan) dan YAB Datuk Noh Omar (Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani) pada 11 April 2011. Manakala, pada 13 April 2011, PJK Beladin turut menerima kunjungan daripada YAB Datuk Seri Panglima Musa bin Hj Aman ( Ketua Menteri Sabah) dan YAB Datuk Seri Panglima Yahya Hussin ( Timbalan Ketua Menteri Sabah). (Arkib PJK Beladin, 2011)
Walau bagaimanapun, berdasarkan Rancangan Malaysia ke-11 (RMK11), Suruhanjaya Komunikasi dan Maklumat Malaysia (SKMM) akan menyediakan kemudahan jalur lebar atau internet lebih baik untuk dinikmati oleh penduduk pinggir bandar (BH Online, 31 Mei 2015). Oleh itu, pihak SKMM telah membina bangunan baharu di tapak projek RGC (Rural Gross Centre) berhampiran dengan Masjid Al-Amin Beladin. Pembinaan bangunan baharu telah siap dibina pada tahun 2015 dan beroperasi sepenuhnya pada Julai 2015 dengan penjenamaan baharu dari Pusat Jalur Lebar Komuniti Beladin kepada Pusat Internet 1Malaysia Beladin. Bangunan baharu ini tekah memaparkan ciri yang lebih modernistik serta dilengkapi dengan ruangan yang lebih kondusif untuk dinikmati secara maksimum oleh penduduk Kampung Beladin. Bangunan baharu ini juga menyediakan bilik latihan yang dilengkapi dengan kemudahan ICT yang lengkap untuk pengajaran dan pembelajaran ICT kepada penduduk setempat. Menurut Datuk Jailani Johari, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, mengatakan bahawa kerajaan memberikan komitmen sepenuhnya terhadap projek ini selain memenuhi tuntutan masyarakat pinggir bandar yang memerlukan akses jalur lebar untuk bergerak seiring dengan kawasan bandar (BH Online, 31 Mei 2015).
- i-healthy day di Pusat Aktiviti Warga Emas Beladin
- Program Hari Merdeka N.24 Beting Maro (Urusetia)
- Booth Klik Dengan Bijak SKMM sempena jelajah Hari Keluarga di Pusa (bersama pihak SKMM)
- Intel Learning
- Ambang Tahun Baru di Town Square Beladin 2016 dan Dataran Tandang Sari 2017 (Unit Publisiti)
- Kempen pengguna bijak dan keusahawanan
- Bengkel Permasalahan Netbook SMK St. Augustine Betong
- Lawatan sambil Belajar (kerjasama KEMAS Beladin)
- Hari Terbuka Pusat Internet 1Malaysia, dan banyak lagi.
Pusat Internet Beladin tetap menjadi pilihan utama penduduk setempat mengakses internet / jalur lebar. Walaupun telah dijenamakan kepada Pusat Internet 1Malaysia, penduduk Kampung Beladin tetap mengenalinya sebagai Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) Beladin.